Resipi Singgang Daging Kak Pis Terengganu (celup)

Hari ni hari minggu, tetapi saya terpaksa ke makmal awal pagi hingga menjelang tengahari. Ada kerja nak siapkan. Sampai rumah, tergesa-gesa nak masak untuk suami dan anak-anak. Kesian mereka, sekejap lagi dah lapar agaknya.
Ada daging dan ikan dalam peti sejuk. Spontan dapat idea nak masak Singgang Daging bila teringat nak masak benda yang cepat siap. Saja tukar angin, kalau tak hampir setiap hari menu kami ikan... favourite anak beranak katakan.
Saya pertama kali makan masakan ni tahun 2002 ketika belajar di Terengganu. Masa tu ada sambutan Aidil Adha, kami buat "bekwah" di kampus masak beramai-ramai. Syukur dapat peluang belajar masak hidangan ni dari kakak senior.
Masakan ni sememangnya menu sihat - tiada minyak dan kaya dengan herba-herba dan rempah. Sesuai juga untuk ibu sedang berpantang lepas bersalin.
Walaupun saya orang Melaka dan masakan saya ni tak tahu lah kena ke dengan resepi asal dan selera orang Terengganu Asli... Alhamdulillah,  yang penting kami sekeluarga berselera makan hari ni.. lawan pula dengan terung berlada, bertambah-tambah nasi sampai licin periuk.
RESEPI SINGGANG TERENGGANU
Bahan-bahan
Daging lembu segar (anggaran 3 orang makan - saya tak timbang, anggaran 300g kot)
3 ulas bawang merah (mayang halus)
1 ulas bawang putih (mayang halus)
1 inci lengkuas (ketuk)
1/2 inci kunyit (hiris)
1 batang serai (ketuk)
1 keping asam keping
Sedikit biji ketumbar, jintan putih dan lada hitam (tumbuk kasar)
Garam dan *gula merah (jika suka) secukup rasa
Air secukupnya
sangat-sangat
Cara masak (paling saya suka sebab senang sangat-sangat)
Campurkan semua bahan kecuali gula merah dalam periuk dan masak atas api sederhana hingga daging empuk, air cukup masak dan mendidih.
Perasakan dengan sedikit sahaja gula merah.
Siap!
Nota :
Kawan saya kata Singgang Kelantan lain sikit, ada halia dan lada/ cili. Wallahua'alam.
Jika tak suka masam, boleh masukkan asam keping kemudian
Saya kurangkan lada hitam sebab makan dengan anak-anak kecil
Selamat Mencuba!
- Kak Pis Terengganu Celup -

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...