7 tips kawal rasa lapar di kalangan ibu menyusu supaya tak terlebih makan hingga berat badan naik mendadak

Pagi tadi encik suami belikan sarapan, sebungkus nasi lemak dan lima biji kuih-muih. Terkejut saya bila dia katakan semua tu untuk saya. Bila ditanya kenapa banyak sangat, pantas je suami jawab :

"awak kan selalu lapar..."


Tersengih saya dibuatnya. Malu pun ye. Memang ketara sangat agaknya saya ni asyik makan je. Lepas makan nasi ada sahaja biskut, roti, buah dan manisan jadi kudapan. Nak buat macam mana, kadang-kadang tu baru setengah jam habis nasi sepinggan, dah rasa nak makan itu ini.

Menyusu hanya alasan untuk makan lebih?


Selalunya bila datang perasaan nak makan macam-macam, mula la datang suara halus berbisik "Makan je.. kau kan menyusukan anak, memang la asyik lapar. Nanti kejap je anak dah sedut makanan tu balik" Lalu, dengan senang hatinya ibu-ibu akan ada lesen besar untuk makan lebih banyak dari biasa, termasuklah makanan segera dan kurang berkhasiat serta tinggi kandungan gula dan lemak. 

Seorang ibu yang menyusukan anak secara eksklusif sebenarnya akan membakar 500 kalori sehari. Kajian menunjukkan, ibu menyusu perlu makan 1800-2100 kalori sehari untuk memastikan penghasilan susu badan mencukupi. Pengambilan kalori yang rendah boleh menyebabkan penghasilan susu badan merudum. Pakar laktasi Kelly Bonyata menulis, ibu tak semestinya terlalu mengira kalori ketika mengambil makanan harian. Ikut naluri dan rasa lapar serta selera masing-masing kerana secara alaminya, badan akan menerima isyarat lapar dan dahaga bila lebih makanan diperlukan oleh ibu.




Tips kawal rasa selalu lapar di kalangan ibu menyusukan anak

  1. Makan untuk dua orang - buang tanggapan bahawa ibu menyusu perlu makan untuk dua orang. Sebaliknya, kenalpasti keinginan makan dengan baik dan ingat, metabolisma ibu adalah sangat efisyen dalam tempoh menyusukan anak.
  2. Minum air secukupnya bila rasa dahaga - Amalkan minum air sebelum dan selepas menyusukan. Anggaran keperluan air adalah 2.5-3 liter sehari, bergantung kepada tahap aktiviti harian ibu. Kekurangan air akan memberi isyarat 'lapar' kepada otak.
  3. Elakkan minum air berkafein dan berais - Air kosong atau jus buahan adalah lebih baik. Minuman seperti kopi, teh dan bikarbonat akan menyebabkan badan cepat letih.
  4. Jangan tinggalkan waktu makan - Kebanyakan ibu akan terlepas waktu makan bila sibuk dengan aktiviti harian. Sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam yang diselangi dengan snek ringan dapat membantu mengekalkan penghasilan susu Makan dalam amaun yang sedikit tetapi kerap juga membantu.
  5. Tidur dan rehat mencukupi - Ibu yang tidak dapat tidur dan rehat yang mencukupi akan menyebabkan badan letih dan seterusnya meningkatkan keinginan terhadap makanan yang manis-manis. Keadaan ini boleh menyebabkan ibu suka makan benda manis secara berlebihan hingga mengganggu metabolisma dan meningkatkan berat badan.
  6. Gantikan keinginan makan makanan yang kurang sihat - Sekiranya ibu mempunyai keinginan makan yang tinggi terhadap makanan tidak berkhasiat seperti mee segera, pizza, burger, sosej, minuman soda .... gantikan segera dengan snek yang lebih sihat seperti buah-buahan, kekacang, susu kocak dan sebagainya.
  7. Kawal stress - tekanan yang dihadapi samada di rumah atau pejabat juga boleh menyebabkan ibu rasa cepat lapar. Cuba kawal stress anda dengan baik, jangan terbawa-bawa hingga ke meja makan.

Rutin pemakanan saya semasa menyusu


Alhamdulillah, masuk tahun ni dah tahun ke-7 saya menyusukan anak. Dari anak pertama hingga keempat, saya menyusukan anak secara berterusan hingga umur mereka lebih kurang 2 tahun. Masa mengandung pun saya pernah menyusukan anak yang berusia hampir dua tahun. Apa yang penting, saya mesti pastikan sentiasa amalkan pemakanan yang sihat dan cukup. Di bawah ni saya tuliskan sedikit catatan mengenai rutin pemakanan saya semasa menyusu : 

  • Sarapan pagi : Biasa saya ambil makanan yang sedikit berat seperti nasi lemak, roti canai atau mee dalam amaun sedikit. 
  • Minum pagi (sekitar jam 10) : Saya ambil roti disapu marjerin atau biskut gandum 6-8 keping
  • Makan tengahari : Selalunya nasi campur. Amaun nasi kurang secawan. Lebihkan lauk (protein) dan sayur
  • Minum petang : Satu hidangan (1 gelas besar) susu kocak yang dicampur dengan serat seperti kurma, buah-buahan atau kekacang. Resepi susu kocak kegemaran saya ada di sini 
  • Makan malam : Selalunya saya hanya ambil roti bakar atau makan lauk tanpa nasi. Jika rasa nak ambil nasi, cukup hanya sesenduk sahaja.
  • Minum malam : Minuman yang ringan seperti teh yang dimakan bersama biskut kering. Juga satu hidangan susu segar/ soya
Itupun nampak macam banyak kali saya makan nasi dalam sehari kan? Secara peribadi, nasi ni milkbooster saya yang paling berkesan. Jadi, saya lebih suka makan nasi pada waktu makan. Cuma terpaksa kurangkan amaunnya untuk elak berlebihan dari keperluan. Pastikan minum air masak secukupnya. Saya selalu amalkan minum segelas air sebelum dan selepas menyusu/ mengepam susu.

Ibu-ibu cuba amalkan tips di atas ye. Semoga terkawal rasa lapar yang datang dalam tempoh menyusukan anak. Sealamat mencuba. 

Superibu in the making,
ZETI HAFIZA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...