TRYING TO CONCEIVE : Kisah benar saya!

Setiap yang berlaku ada hikmah dan sebab. Akal kita tak terjangkau untuk fikirkannya. Bertahun cuba tapi masih gagal dapat zuriat sendiri? Saya pernah merasa detik itu... selama 3 tahun 3 bulan bernikah, barulah saya berjaya mempunyai anak sendiri. Mungkin ramai lagi yang masih menunggu. Tapi sekurang-kurangnya saya memahami betapa perit dan jerih menunggu dan menunggu...

Bulan kedua selepas bernikah, saya agak gembira bila 'bendera merah' tak kunjung tiba walaupun dah 'due'. Sangka saya, dapatlah bunting pelamin macam kawan-kawan yang lain. Rupanya 'honeymoon syndrome' je... kitar haid saya memang kurang teratur sebenarnya. Saya je yang syok sendiri, konon-kononnya mengandung.

Lepas setahun, takde langsung tanda-tanda saya mengandung. Dalam hati dah mula risau dan fikir bukan-bukan. Muka ni memang sedia tebal terima teguran orang. Sampai satu tahap rasa macam tak nak keluar rumah, tak larat nak berhadapan dengan pertanyaan, sindiran dan tohmahan orang. Mujur suami memahami dan selalu beri sokongan. Puas agaknya dia memujuk saya menangis saban hari.

Usaha? Sepanjang tahun pertama saya cuba pelbagai cara dan petua yang ada. Antaranya :
  1. Berurut - saya pernah berurut dengan 5 orang di Terengganu, Melaka, Selangor. Dua orang darinya bidan tradisional. Macam-macam yang saya dengar.. ada yang kata rahim saya senget, telur tak elok, angin banyak dan macam-macam lagi.
  2. Makan - saya pernah minum rebusan pucuk taugeh, makan badam, kurma, rumput zuriat, buah badam, buah delima, buah zaitun, folik asid, spirulina, herba cina, produk Bi**ex, jamu dan macam-macam lagi. Saya elakkan makan terlalu berasid, minuman bergas, kafein, makanan yang 'tajam'
  3. Amalan - saya amalkan zikir dan selawat yang disarankan, solat hajat, dhuha dan taubat, amalan baca Al-Quran dan doa-doa tertentu (baca post ni), banyakkan bersedekah
  4. Planning - saya guna ovulation kit, monitor suhu badan (Body Basal Temperature) untuk pastikan waktu subur
Masuk tahun kedua saya rujuk ke doktor pakar kesuburan. Sebab, apa yang saya baca.. jika gagal mengandung dalam tempoh setahun setelah berusaha, kemungkinan saya TIDAK SUBUR. Memang perit nak akui hakikat. Kalau orang dulu-dulu, dah kira mandul agaknya. Usaha yang saya buat dalam tahun pertama masih diteruskan, cuma saya tambah sikit lagi dari segi perubatan. Setahun jugalah saya ulang-alik ke hospital. Antara prosedur yang saya dah lalui :
  1. Screening - darah saya diuji setiap beberapa bulan untuk tengok level hormon. Dari segi perubatan, memang saya KURANG SUBUR sebab hormon progesterone saya rendah. Sampel air mani suami pun diuji. Alhamdulillah, normal je.
  2. Ubat Subur - saya diberi ubat hormon yang dipanggil Clomid. Dari dos yang rendah sampai dos paling tinggi. Yang saya ingat satu dos saya kena ambil selama 3 bulan. Rehat sebulan kemudian sambung lagi 3 bulan dengan dos lebih tinggi. Setahun juga saya ambil ubat ni. Masalahnya badan saya jadi makin berisi, selain pening-pening dan selalu letih
  3. TVS (Trans Vaginal Sonogram) - Prosedur scan telur yang dihasilkan kilang ovari saya. Hampir setiap bulan terpaksa melaluinya.
  4. HSG (hysterosalpingogram) - Prosedur 'x-ray' sistem reproduksi saya. Untuk pastikan tiub fallopio tidak tersumbat. Alhamdulillah okay... Prosedur ni sebenarnya untuk teruskan ke langkah seterusnya...
  5. IUI (intrauterine insemination) atau dalam bahasa kita panggil permanian beradas - sebelum mulakan langkah ini, saya perlu suntik sendiri ubat dipanggil Puregon untuk menggalakkan hormon.
Tapi dalam kisah saya ni, saya hanya sempat buat temujanji untuk prosedur dan order ubat suntikan tu sahaja. Saya tangguhkan dulu temujanji dari tarikh dicadangkan doktor sebab saya merancang untuk ke tanah suci bagi menunaikan umrah.

Dalam masa 2-3 bulan saya tidak buat apa-apa rawatan. Sengaja saya me'rehat'kan diri dari semua ubat dan rawatan bagi membuat persiapan ke Makkah. Alhamdulillah, 3 hari sebelum saya berangkat.. saya dapati ujian air kencing menunjukkan positif!

Syukur tidak terhingga. Saya sangat yakin dan percaya, Allah memang sengaja menguji saya dan suami supaya saya sentiasa merayu dan meminta pada DIA. Allah juga nak uji, sejauh mana saya sanggup berusaha dan bertawakkal. Saya juga sangat percaya, jika kita tak jemu berusaha dengan 1001 cara.. akhirnya dia akan beri ganjarannya. Buat kawan-kawan saya yang sedang berusaha, saya doakan Allah tunaikan permintaan kalian. Jangan menyerah kalah, teruskan berusaha kerana DIA sentiasa mendengar dan memerhatikan kita...

"Ya Allah, kurniakan bagiku dari sisiMu zuriat yang Toyyib, sesungguhnya Kau Maha Mendengar doa hambaMU"

Sertailah BigsmileZone Page di Facebook untuk maklumat terkini promosi, produk dan info-info berkaitan. Bagi membuat pesanan vitamin atau mendapatkan konsultasi percuma, sila SMS 019 936 66681 atau email ke bigsmilezone@gmail.com

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...