Tahniah kerana dimurahkan rezeki dengan dikurniakan bayi yang diimpi-impikan selama ini. Sudah tentu banyak perkara baru yang akan ditempuhi termasuk pengalaman pertama menyusukan bayi. Pada masa ini, banyak nasihat dan pandangan yang akan kedengaran dari orang sekeliling kita, tidak kira suami, ibu, kakak, nenek, jiran, kawan-kawan mahupun orang yang pertama kali anda temui. Jadilah pendengar yang baik, tetapi anda juga perlu berhati-haati dalam menerima maklumat tersebut. Pastikan anda periksa fakta sebenar yang boleh anda perolehi dari pembacaan dan konsultasi. Sesetengah maklumat yang anda dengar mungkin mitos yang belum pasti kebenarannya. Antara mitos popular tentang penyusuan ibu :
- Tidak semua ibu mempunyai susu yang cukup untuk menyusukan anak mereka
Fakta : Sebenarnya seorang ibu boleh menghasilkan susu yang mencukupi untuk anak mereka. Penyusuan ibu adalah berkonsepkan 'demand and supply' di mana lebih kerap anda menyusukan bayi, semakin banyak susu yang dihasilkan. Sebagai contoh, bayi yang berusia 1 hari dianggarkan mempunyai perut hanya sebesar guli sahaja dengan kapasiti 5-7 ml sahaja. Susu ibu yang dihasilkan pada hari pertama juga amat sedikit tetapi cukup untuk memenuhi keperluan bayi. Menjelang hari ke-7, saiz perut bayi bertambah dan boleh mencapai kapasiti 2 oz. Ketika itu pengeluaran susu ibu yang meneruskan penyusuan boleh melebihi keperluan bayi. - Penyusuan menggunakan susu formula melalui botol adalah lebih mudah
Fakta : Penyusuan ibu adalah lebih mudah. Anda tidak perlu bergegas bangun dari pembaringan anda di waktu malam untuk membancuh susu, anak tidak merengek lama untuk menunggu susu dibancuh, tiada peralatan perlu disteril, anda tidak perlu risau tentang suhu susu yang perlu diberikan dan sebagainya. Anda akan mendapati menyusukan anak menggunakan susuformula melalui botol lebih sukar jika anda telah biasa menyusukan anak terus dari payudara anda! - Susu formula mempunyai kandungan yang sama/ lebih baik dari susu ibu
Fakta : Susu ibu mempunyai kandungan nutrisi yang unik bagi memenuhi keperluan bayi anda. Susu formula mungkin mempunyai kandungan lemak, karbohidrat, protein dan mineral yang sama atau lebih tinggi dari susu ibu. Tetapi sesetengah susu formula mempunyai kandungan nutrisi yang berlebihan dan tidak diperlukan oleh bayi anda. Susu ibu juga mengandungi sel hidup seperti antibodi dan limfosit yang tidak boleh diperolehi dari susu formula. - Ibu yang mempunyai puting leper/ tenggelam tidak boleh menyusukan
Fakta : Puting payudara berfungsi memudahan pelekapan mulut bayi ketika penyusuan. Puting yang leper/ tenggelam mungkin menyukarkan sedikit pelekapan mulut bayi dengan betul pada peringkat awal penyusuan tetapi tidak bermakna payudara anda tidak mampu menghasilkan susu. Terdapat teknik tertentu yang boleh membantu seperti urutan dan penggunaan alat-alat khas. Dalam kebanyakkan kes, puting yang leper/ tenggelam boleh dikeluarkan ketika menyusu jika mulut anak melekap dengan betul. - Saiz payudara menentukan keupayaan menghasilkan susu
Fakta : Penghasilan susu ibu bermula apabila saraf di sekitar puting dan aerola dirangsang, seterusnya menghatar isyarat kepada kelenjar pitituari untuk menghasilkan hormon prolaktin dan oksitoksin. Prolaktin berfungsi menukar nutrien dari darah ibu ke dalam bentuk susu ibu. Oksitoksin pula merangsang sel-sel dalam payudara seterusnya menyebabkan berlakunya ejakulasi susu ibu. Saiz payudara adalah bergantung kepada jumlah tisu lemak yang ada pada seseorang. Ia tiada kena mengena langsung keupayaan menghasilkan susu ibu
Jika biasa dengar mitos di atas sebelum ini, pastikan tanggappan kita diperbetulkan mengikut fakta sebenar ye ibu-ibu. Selamat menempuhi alam penyusuan ibu yang indah!
Sahabat Sihat,
< ZETI HAFIZA >
Sahabat Sihat,
< ZETI HAFIZA >
No comments:
Post a Comment