DIET : Tips pemakanan ketika berdiet

Diet tidak bermakna anda terpaksa gantikan makanan tengahari anda dengan makanan bayi. Atau hanya makan sayur-sayuran sepanjang hari. Apatah lagi berlapar saban hari hanya untuk mendapat berat badan ideal. Diet yang bijak ialah anda mengubah dan memperbaiki tabiat pemakanan ke arah yang lebih sihat. Berikut adalah beberapa langkah mudah yang boleh anda amalkan untuk perbaiki diet anda:

1. KUDAP KEKACANG

Kekacang mengandungi antioksidan dan nutrien lain yang penting untuk tubuh manusia. Ia baik untuk tubuh kerana kaya dengan Omega-3 dan Omega-6 untuk membantu membaiki kerosakan sel. Amalkan memakan sekurang-kurangnya 2 sudu makan kekacang seperti kuaci bunga matahari, biji labu, bijan, flaxseed dan sebagainya setiap hari. Masukkan ke dalam hidangan sup dan gulai atau taburkan atas hidangan salad sayuran/ buahan anda.

2. ELAKKAN LEMAK 'JAHAT'

Makanan yang kaya dengan lemak tepu atau trans-lemak akan memberi tekanan kepada hati dan jantung anda, serta menaikkan paras kolesterol dalam darah anda. Lemak tepu datang dari sumber haiwan, maka elakkan mengambil mentega dari minyak sapi. Kurangkan pengambilan daging merah dan pilih keju atau susu rendah lemak. Trans-lemak pula adalah lemak yang terhasil dari proses menggoreng. Baca label makanan dan elakkan 'lemak tumbuhan hydrogenated' kerana ia juga adalah sejenis trans-lemak.

3. KUNYAH MAKANAN DENGAN BAIK

Sebelum badan menghadam, makanan perlu dikisar permukaan makanan supaya dapat diserap dengan baik oleh perut. Sekiranya makanan tidak dikisar sempurna, enzim dalam perut dan usus tidak dapat bertindak ke atas keseluruhan permukaan makanan seterusnya proses penyerapan nutrien makanan akan terganggu. Makan perlahan-lahan, kunyah dengan baik sebanyak 10-30 kali sebelum menelan.

4. BIARKAN KULIT

Kulit kentang mengandungi 4 kali lebih zat besi dan 2 kali lebih kalsium. 28% vitamin C pada tomato hilang sekiranya kulit dikupas. Buah epal mengandungi boron yang penting untuk pembinaan tulang, yang terletak kebanyakannya pada bahagian kulit. Makan potongan buah atau sayuran anda dengan kulitnya sekali. Jangan lupa cuci terlebih dahulu bahagian kulit tersebut untuk membuang racun serangga yang mungkin masih melekat.

5. TAMBAH REMPAH SEBAGAI PERASA

Rempah dan herba boleh menambah rasa pada makanan, seterusnya membantu anda mengurangkan garam dan lemak sebagai perasa. Ia juga kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral seperti daun saderi yang kaya dengan vitamin K dan cili yang kaya dengan Vitamin C. Sesetengah herba seperti cili juga boleh meningkatkan dua kali ganda pengambilan antioksidan anda hanya dengan menambah setengah sudu makan ke dalam hidangan harian anda.

6. MASAK GUNA ALAT 'STAINLESS STEEL'

Vitamin dalam sayuran akan hilang apabila direbus dalam air. Sebab itu penggunaan ketuhar gelombang mikro atau pengukus adalah lebih baik kerana air kurang digunakan dan kebanyakan nutrien dapat dikekalkan. Jika anda gemar menggunakan dapur gas, cuba gunakan periuk dan kuali tahan karat (stainless steel) kerana ia dapat mengurangkan kehilangan vitamin ketika memasak.

7. JANGAN 'MASAK' VITAMIN DALAM SAYUR ANDA

Potassium dalam kentang hanya tinggal 50% manakala falcarinol dalam lobak (penting untuk mengelak kanser) hanya tinggal 25% apabila dimasak sepenuhnya. Mencincang atau memotong sayuran kecil2 sebelum dimasak pula meningkatkan luas permukaan, menyebabkan lebih banyak nutrien dibuang ketika proses memasak. Cuba amalkan cara masakan yang lebih menyihatkan dengan hanya mencelur atau merebus separuh masak sayuran yang tidak dipotong atau dicincang halus.

8. MULA DAN AKHIRKAN HIDANGAN DENGAN RASA PAHIT

Hirup sedikit teh hijau tanpa gula atau makan hidangan pembuka yang berempah atau ambil ulaman sebelum makan. Rasa pahit akan merangsang bahagian belakang lidah, menyebabkan enzim penghadaman mula dihasilkan dalam perut anda, seterusnya menggalakkan sistem penghadaman yang sihat.

9. MAKAN SAYUR SETIAP HARI

Pastikan menu harian anda mengandungi semangkuk hidangan sayur salad. Ia adalah cara mudah untuk meningkatkan pengambilan folate yang penting bagi tubuh badan anda untuk mengekalkan kesihatan saraf anda. Sayur salad juga kaya dengan vitamin B6 yang bersifat antioksidan, vitamin C dan E. Jika anda tidak gemar memakan sayur salad mentah, ambillah sup sayuran yang kaya dengan khasiat sebelum makan tengahari atau malam. Makanlah sekurang-kurangnya sepinggan sayur-sayuran setiap hari atau cuba juga makan hidangan nasi kerabu yang digaul penuh dengan sayuran dan herba tempatan yang menghijau.

10. LAYUR SAYUR BERDAUN HIJAU TANPA MENGGUNAKAN MINYAK

Tubuh badan menyerap zat besi daripada sayur berdaun hijau dengan lebih mudah jika ia dimasak terutamanya apabila dilayur tanpa menggunakan minyak. Bahan anti-oksidan yang diketahui anti kanser seperti Beta-karotena (ditemui dalam sayuran berwarna oren seperti labu dan lobak) dan Lycopene (ditemui dalam sayuran berwarna merah seperti tomato) juga mudah diserap apabila dimasak berbanding dimakan secara mentah.

11.KURANGKAN PENGAMBILAN DAGING DAN GARAM
Penyelidik dari Jepun telah mendapati orang yang makan banyak daging dan garam akan menghasilkan lebih kalsium dalam peluh mereka. Lama kelamaan kehilangan kalsium ini akan melemahkan tulang. Anda boleh mencuba diet vegetarian sekali sekala bagi menggantikan pengambilan daging dan makanan laut.

12.NIKMATI BAWANG PUTIH
Bawang putih adalah kaya dengan allicin yang boleh membunuh bakteria. Ujian makmal menunjukkan allicin membunuh kuman dan berkesan sebagai antibiotik semulajadi. Kajian terkini juga mendedahkan makan bawang putih adalah lebih berkesan daripada mengambil ekstraknya sahaja. Seulas bawang putih yang dimasak di dalam hidangan harian adalah mencukupi untuk membantu tubuh melawan selsema.

13. PILIH BUAH TEMPATAN SEBAGAI SNEK
Kajian ke atas sekumpulan wanita yang sering keletihan menunjukkan pengambilan semangkuk buah-buahan segar setiap hari boleh mengembalikan tenaga sehingga 60%. Ini kerana buah-buahan mengandungi gula ringkas yang membekalkan tenaga segera. Kehilangan vitamin C dalam buah-buahan bermula sebaik sahaja ia dipetik. Oleh itu, buah-buahan tempatan wajar menjadi pilihan berbanding buah-buahan yang diimport yang mengambil masa selama berhari-hari sehingga berbulan-bulan sebelum sampai dihidang di meja makan anda.

14. MAKAN LEBIH HIDANGAN BERENZIM TINGGI
Tahukah anda 80% daripada reseptor imuniti terletak di dalam perut. Oleh sebab itu, sistem penghadaman yang sihat adalah sangat penting untuk menggalakkan ketahanan tubuh badan. Enzim membantu dalam proses memecahkan makan yang dimakan. Makanan yang berenzim tinggi seperti kacang, betik dan nenas membantu proses kimia penghadaman.

15. CUBA JUS ALOE VERA KETIKA STRESS
Jus aloe vera merangsang tubuh menghasilkan sel darah putih yang berfungsi melawan jangkitan bakteria dan virus. Ia juga kaya dengan vitamin C yang membantu kesihatan kelenjar adrenal dan membantu ketika stress.

16. KURANGKAN GULA
Makan dan minum 100 gram gula sehari boleh mengurangkan 40% kemampuan sel darah putih membunuh kuman. Kesan kekurangan pertahanan tubuh badan akan berlaku seawal 30 minit selepas pengambilan gula dan berterusan sehingga 5 jam lamanya.


Sertailah BigsmileZone Page di Facebook untuk maklumat berkaitan kesihatan dan kecantikan. Sila SMS ke 019 9366681 atau email ke bigsmilezone@gmail.com jika anda berminat dengan tawaran kami.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...