Pemeriksaan tahunan
Dah hujung-hujung tahun ni, tiba-tiba teringat pada medical check-up yang kami buat setahun lepas. Kebetulan masa tu ada promosi di BP Lab Seremban. Ada lebih kurang 60 test kami berdua suami isteri, dapat diskaun hingga 40%. Antara ujian yang dibuat termasuk haematology (profil darah), fungsi hati dan buah pinggang, screening cancer dan hepatitis dan ujian lipid. Alhamdulillah, secara keseluruhannya kami sihat dan normal. Cuma paras kolesterol jahat berada di sempadan pada kami berdua dan saya berisiko kekurangan iron dalam darah serta kencing kotor.
Tindakan susulan
Selepas dapat keputusan makmal, kami dapat konsultasi percuma dari Doktor di makmal tersebut. Syukur pada Allah yang bukakan hati dan beri ilham pada kami lakukan pemeriksaan tersebut. Baru sedar, bila usia melewati angka 30 dan mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai beberapa masalah kesihatan - risiko untuk turut mengalami masalah yang sama adalah tinggi.
Susulan itu juga kami berazam memperbaiki tahap kesihatan, membuang gaya hidup kuranh sihat dan terus melakukan pemeriksaan kesihatan dari masa ke semasa. Kesannya mungkin bukan hari ini, tetapi di masa tua kelak jika dipanjangkan usia.
Muda 10 tahun dari usia?
Malam tadi saya buat Real Age Test di web Dr. Oz yang popular dalam slot kesihatan rancangan Oprah. Walaupun soalannya panjang dan memakan masa, seronok sungguh bila saya muda 5 tahun dari usia sebenar. Hehehe... jangan tak percaya ye.
Dalam web ni ada banyak tips untuk kita jadi lebih muda. Bukan muda dari segi luaran sahaja. Malahan muda dari segi kesihatan, mental dan fizikal. Antara tips penting untuk elak penuaan sebelum usia :
1. Ambil makanan seimbang seperti dalam piramid makanan yang dicadangkan. Minum air mesti cukup.
2. Amalkan gaya hidup sihat. Jangan ambil alkohol, merokok dan elakkan penggunaan ubatan/ kosmetik yang mengandungi bahan kimia.
3. Lakukan senaman yang sesuai dan bersukan untuk kekal cergas.
4. Kekalkan berat badan ideal
5. Dapatkan tidur yang cukup dan berkualiti
6. Ambil suplemen penting seperti multivitamin, antioksidan dan asid lemak perlu seperti omega
7. Urus stress dengan baik. Bersosial secara sihat untuk kesihatan emosi.
8. Jalani hidup secara normal dengan penuh kasih sayang - berumahtangga, mempunyai anak, berbaik dengan ahli keluarga dan kawan-kawan.
9. Pantau tahap kesihatan dari masa ke semasa. Dapatkan rawatan segera jika disahkan mempunyai sebarang masalah kesihatan
10. Jangan lupa berpegang kuat pada ajaran agama untuk kekal positif dan ia akan menjadikan jiwa serta rohani anda lebih muda.
#jomsihat