Pages

Diari Hamil Zeti Hafiza : Minggu 1-4

Alhamdulillah... semasa menulis ni, saya dah pun masuk trimester kedua hamil anak ke-4. Macam kelakar pun ye, dah mengandung berkali-kali barulah terasa nak kongsi pengalaman 'real time' hamil. Ala-ala diari kononnya.

Perkongsian saya akan lebih kepada pengalaman sendiri, mungkin berbeza dengan bakal ibu yang lain. Saya akan selit juga info perkembangan ibu dan kandungan mengikut minggu berdasarkan pembacaan. Harap bermanfaat.

Minggu 1

Dalam bidang perubatan, minggu pertama mengandung dikira dari hari pertama haid. Haid saya sebenarnya berbeza sikit pada waktu ni. Agak lewat berbanding bulan-bulan sebelum. Saya fikir, mungkin disebabkan faktor badan yang stress akibat sibuk dengan kerja makmal projek master saya... atau mungkin sebab masih menyusu Cik Kuntum yang hampir berumur setahun tu.

Minggu 2

Ikut teori, hujung minggu ni dah masuk waktu subur. Saya seperti kebanyakan wanita lain, waktu subur boleh 'dibaca' dengan memerhati lendiran subur yang keluar pada waktu ini. Bagi mereka yang merancang untuk hamil, waktu subur ni patut digunakan sebaiknya untuk mengadakan hubungan intim dengan suami bagi meningkatkan peluang persenyawaan benih lelaki dan perempuan. Sebaliknya pasangan yang nak jarak kelahiran atau merancang tidak mahu hamil dalam masa terdekat, boleh ambil kaedah perancang keluarga secara sihat.

Minggu 3

Dari segi teori sains, telur wanita yang dilepaskan pada waktu subur kemungkinan telah berjaya tersenyawa pada waktu ini. Dinding rahim pun dah sedia menebal kerana bersedia untuk terima perlekatan janin. Ibu biasanya belum tahu pun mereka dah mengandung pada masa ni. Selalunya ujian kehamilan pun belum dapat kesan kehadiran hormon mengandung.

Minggu 4

Debaran menunggu datangnya bendera merah. Sesetengah orang akan mula dapat tanda nak datang haid atau pre-menstrual syndrome (PMS). Saya contohnya, akan rasa sedikit moody dan tidak selesa ketika ni. Muka lebih berminyak dan naik jerawat, perut pun kadang rasa kembung dan buncit.

*bersambung lagi nanti ye

Ibu Nabil, Naufal, Nashwa dan ...
+60199366681

No comments:

Post a Comment