Pages

Pengalaman bersalin Ain Nawraa : PART 3 - Nak ke hospital, terpaksa U-Turn sebab tertinggal barang!

Assalamualaikum w.b.t

Ternanti-nanti ye sambungan kisah saya bersalinkan anak ke-4. Suspen juga ya.. sampai 3 episod kisah ni. Yang baru baca, kena baca dulu PART 1 dan PART 2 baru la syok baca sambungan ni.

Bermulanya surge @ contraction


Rabu, 18 Mac 2015


4.30 am : Saya terjaga dari tidur macam biasa. Biological clock memang dah set, hari-hari akan terbangun dari tidur pada waktu ni. Tapi kali ni lain macam sikit. Saya rasa sakit macam nak buang air besar. Oh... saya memang sembelit beberapa hari ni. Cepat-cepat saya ke tandas. Tunggu beberapa minit, tak pula keluar isi perut ni. Tadi rasa macam nak terberak sangat. Saya duduk atas katil, ambil nafas sambil berfikir. "Ke ni gesa nak bersalin?" Lucu juga, dah anak ke empat pun masih tak pasti rasa nak bersalin macam mana. Dah la baru 20 bulan lepas bersalinkan anak ketiga.


5.00 am : Bila rasa sakit datang lagi, saya set masa gunakan apps contraction timer di handphone. Jarak masa surge 5 minit sekali dan setiap kontraksi tempohnya lebih kurang 90 saat. Ok, kali ni bukan cobaan.. saya memang akan bersalin harini. Anggaran saya, mungkin sebelum waktu Zuhur paling cepat pun.


5.15 am : Saya masih berkira-kira nak kejutkan suami yang masih lena. Biasa jam 5.30 pagi suami akan bangun bersiap ke pejabat. Saya sempat solat sunat 8 rakaat sebelum turun ke tingkat bawah, sediakan sarapan untuk anak yang nak ke sekolah. Dalam doa, saya tak lupa ulan-ulang birth affirmation yang dah berbulan-bulan saya buat. Insya Allah, saya yakin kali ni akan bersalin dengan mudah dan dipermudahkan.


6.00 am : Sakit rasa makin kuat, tapi masih boleh tahan. Jarak masa dan kekerapan masih seperti tadi. Saya sibukkan diri sambung mengemas SOHO sementara tunggu azan Subuh. Tiba-tiba suami menjengah di pintu. "Are you okay?" Agaknya dia hairan tengok isterinya mengemas pagi-pagi buta. Tenang je saya beritahu yang saya dah mula sakit. "Kita ke hospital lepas sarapan ye. Lambat lagi ni" Terlebih yakin pula saya.


6.15 am : Saya mandi agak lama dan sengaja biarkan air panas dari shower tu terpancur di bahagian belakang badan. Sangat selesa, sakit pun tak terasa sangat bila datang. Selepas mandi saya terus solat Subuh dan sempat baca Al-Ma'thurat dan Surah Yassin sambil memasang hajat supaya dimudahkan bersalin. Sakit yang datang menyebabkan saya terhenti mengaji beberapa kali.

6.45 am : Suami dah keluar hantar anak sulung ke sekolah dan dua orang lagi ke rumah pengasuh. Saya terus sibukkan diri mengemas sementara menunggu. Bila sakit datang, saya cuba selesakan diri sambil buat macam-macam teknik. Sekejap hip sway, sekejap lagi on-four, sekejap squatting dan jalan itik, sekejap lean on wall sambil turun naik. Pendek kata semua yang terlintas saya buat je untuk selesakan diri. Mulut tak berhenti baca zikir-zikir yang saya ingat.

7.30 am : Sakit makin kuat. Kurang dari 5 minit jaraknya. Suami dah belikan nasi lemak untuk sarapan. Saya sememangnya lapar, tapi dah hilang selera untuk makan. Cuba jamah beberapa suap kemudian, rasa nak muntah pula. Akhirnya saya cuma minum ESP Shaklee untuk tenaga dan alas perut. Sebelum tu sempat juga makan telur ayam kampung mentah dibancuh pekat dalam air milo panas.

7.45 am : Kami bergerak ke hospital. Baru sahaja masuk ke jalan besar, tiba-tiba saya teringat susu formula Nashwa yang dah habis di rumah pengasuh. Saya minta suami buat U-turn, balik rumah semula ambil susu dan drop di rumah pengasuh. Sebenarnya ikutkan rasa sakit memang tak nak peduli dah hal susu ni. Tapi kenangkan kemungkinan kami lama di hospital, terpaksa juga kami buat begini.

8.15 am : Sakit makin kuat. Saya teringat pengalaman bersalin yang lepas-lepas, ketika kadar sakit seperti ni saya dah berada di labor room. Tapi kali ni saya dalam kereta. Hospital hanya 9 km dari rumah tapi masa perjalanan hampir 20 minit disebabkan kesibukan pagi orang ramai nak ke pejabat. 


Sepanjang perjalanan saya rasa cuba  bertenang dan recall teknik pernafasan dan teknik visualation dalam hypnobirth. Walaupun dah practice sebelum-sebelum ni, ternyata semuanya susah nak diingat ketika sedang sakit. Mujurlah saya ada save e-book dalam handphone. Sempat tu buka online library dan baca buku dalam menahan kesakitan. Sambil tu juga saya makan beberapa biji kurma dan teguk sebotol air zam-zam bagi menghilangkan rasa lapar dan dahaga yang datang tiba-tiba.


Siapa kata tengah sakit nak bersalin tak boleh baca buku? Hehehehe..


Alhamdulillah.. memang sangat membantu. Saya rasa sangat relaks dan macam sedang bermimipi bila amalkan teknik visualation blue satin ribbon & blossom opening. Boleh khayal dan tersenyum sendiri bila bayangkan Nawraa yang cantik sedang tak sabar nak jumpa ibu ayah. Suami pun memahami dengan mainkan CD bacaan Al Quran. Saya dah tak pedulikan contraction timer bila sakit datang kurang 5 minit sekali. Teknik sleep breathing yang saya mula buat sejak tadi diteruskan hingga kami tiba di hospital.

Ok.. terpaksa saya sambung PART 4 pula nanti. Takut panjang sangat dalam satu post nanti, ada yang tertidur membacanya.

Jumpa lagi ye. Tunggu sambunganya!

Superibu in the making,
ZETI HAFIZA

No comments:

Post a Comment