Pages

Penyusuan ibu - bukan tugas seorang ibu semata-mata?



Semasa mengandungkan anak pertama, saya telah membuat keputusan untuk menyusukan anak sepenuhnya setakat kemampuan menghasilkan susu dan setakat diizinkan Allah (sudah tentu). Pada ketika itu (tahun 2008), saya banyak mencari maklumat sendiri melalui internet, buku-buku dan majalah. Pengalaman orang di sekeliling saya sangat terhad kerana kebanyakannya menyusukan anak pada bulan-bulan pertama sahaja. Kalau ada yang menyusukan anak menjangkaui tempoh itu, rata-rata telah memperkenalkan susu formula atau selalu orang sebut 'campur susu'. Berbekalkan pengetahuan yang sedikit itu juga keazaman yang kuat, saya beranggapan saya telah bersedia untuk menghadapi cabaran menyusukan anak.

Detik pertama menyusukan adalah saat manis yang tak dapat dilupakan. Mujurlah hospital tersebut menyokong penyusuan ibu. Beberapa ketika selepas dilahirkan, anak sulung saya terus diletakkan di atas dada. Bidan terus meminta saya menyusukan. Mula-mula memang saya panik, tak tau macamana nak latch on dengan betul. Tapi ALLAH MAHA BESAR, dikurniakan bayi rooting reflex yang membantu dalam penyusuan ibu.

Selama sehari semalam di hospital, sekejap-sekejap ada sahaja Jururawat datang untuk buat follow up bagi memastikan ibu berjaya menyusukan anak. Bila ada yang tidak kena, mereka akan menunjukkan cara yang betul untuk menyusukan bayi dengan betul. Ada masa saya jadi sangat letih apabila bayi asyik menangis seolah-olah hendak menyusu. Saya keliru juga, adakah susu saya tidak cukup atau saya yang tidak pandai menyusukan. Menitis juga airmata saya menahan sakit bila puting luka akibat kesilapan latching. Mujur jururawat di situ sedia membantu.

Ketika dalam pantang, saya cuba sesuaikan diri dengan rutin baru. Badan masih letih tapi bayi akan terjaga setiap 2 jam untuk menyusu. Ada masa saya mengalami bengkak susu kerana bayi minum sedikit-sedikit sahaja. Lama-lama kelamaan saya mula faham dan pandai menguruskan penyusuan ibu. Suami sentiasa membantu dan memberi sokongan tanpa diminta. Orang di sekeliling saya pula kurang pengalaman dalam hal ini. Selepas saya habis pantang, ramai nasihatkan supaya saya cepat-cepat ajarkan anak menyusu menggunakan botol, dengan susu formula. Saya sedikit keliru tetapi cuma mengiakan sahaja. Saya bertekad akan teruskan penyusuan eksklusif sekurang-kurangnya sehingga 6 bulan.

Setelah mula bekerja, cabaran semakin hebat. Dengan tugas yang agak sibuk serta kerja outstation yang selalu datang, menyebabkan saya lemah semangat sekali-sekala. Mengepam di pejabat merupakan perkara baru di tempat saya bekerja. Mula-mula memang ada sahaja suara-suara sumbang yang memberi pandangan-pandangan negatif. Ada yang nasihatkan saya cepat-cepat ceraikan susu, ada yang mengejek dan mempermainkan susu yang saya simpan dalam peti ais di pejabat, ada yang menganggap mengepam itu leceh dan sebagainya. Sekali lagi saya hanya berdiam. Sedikit sahaja yang memahami pada mulanya. Dan amat-amat sedikit yang boleh saya jadikan rujukan.

Sepanjang perjalanan menyusukan anak pertama sepenuhnya selama 1 tahun 10 bulan, suamilah yang paling banyak memberi semangat dan membantu. Tanpa bantuannya, pasti sukar untuk saya jayakan penyusuan ibu ini.

Alhamdulillah, sekarang anak kedua saya, saya lalui dengan lebih mudah. Berkat kesabaran, ramai yang telah membuka mata mengenai penyusuan ibu. Ia bukannya mudah tetapi boleh dilaksanakan. Hari ini saya gembira bila semakin ramai kawan-kawan yang mengikut jejak langkah. Ada yang dapat melakukan dengan lebih baik.

Kesimpulannya, anda perlu tahu... Penyusuan ibu bukan tugas ibu sahaja untuk menjayakannya. Anda juga berperanan jika anda seorang;
  1. Suami
  2. Nenek
  3. Kakak
  4. Adik
  5. Abang
  6. Kawan
  7. Jiran
  8. Kawan sekerja
  9. Majikan
  10. Pengasuh
  11. Jururawat
  12. Bidan
  13. Doktor
..... kepada ibu yang menyusukan...

* Jom kembali kepada fitrah dan sunnah!

No comments:

Post a Comment