Menguruskan EBM ketika outstation tanpa anak


Pertama kali saya dapat surat panggilan untuk bekerja luar kawasan selepas bersalin anak pertama dulu, saya agak risau. Kerja luar kali ni mungkin memakan masa seminggu dan tugas saya adalah untuk menjalankan pemantauan projek di seluruh negeri Pahang, termasuk kawasan pendalaman dan tanah rancangan Felda. Memang saya menginap di sebuah hotel sekitar Kuantan. Tetapi setiap hari saya akan keluar awal pagi bergerak ke kawasan-kawasan projek dan pulang lewat petang dan adakalanya malam. Alhamdulillah, saya dapat lalui seminggu yang mencabar dengan jayanya walaupun saya terpaksa memerah susu di dalam kenderaan bergerak, di dapur rumah orang dan mengusung cooler box ke sana sini. Menjelang tahun kedua, saya sudah bersedia untuk keluar bertugas pada bila-bila masa setelah melalui pengalaman tersebut. Mengurus dan meneruskan penyusuan ibu dan susu ibu perahan (Expressed Breastmilk, EBM) bukan mudah, anda perlu besedia dari segi mental dan fizikal. 

Saya cuba senaraikan beberapa perkara yang perlu anda ketahui dan periksa sebelum keluar outstation tanpa anak.

SEBELUM OUTSTATION
  1. Anggarkan bilangan hari anda keluar termasuk perjalanan : Maklumat ini sangat penting untuk anda membuat perancangan
  2. Periksa samada stok EBM mencukupi untuk bayi yang ditinggalkan : Contoh, katakan keperluan bayi adalah 4 oz EBM sekali minum dan kekerapan minum adalah 2 jam sekali. Maka, purata bayi anda perlu 48 oz sehari. Untuk lebih mudah, kita bundarkan kepada 50 oz. Jika anda meninggalkannya selama 5 hari, anggaran jumlah EBM yang mesti ada adalah 250 oz. 
  3. Rancang di mana anda akan menginap dan periksa kemudahan disediakan : Samada anda menginap di hotel, rumah tumpangan atau lain-lain tempat - adalah penting untuk mengetahui samada peti sejuk disediakan atau tidak. Sebaiknya pilih tempat yang ada kemudahan peti sejuk dalam bilik untuk mudah anda mengendalikan EBM. Jika tiada pilihan, periksa samada restoren/ dapur hotel ada peti sejuk/ peti beku dan bersedia jika anda mahu tumpangkan EBM anda. Mungkin juga anda boleh cari kenalan di kawasan terdekat untuk membantu
  4. Teliti program anda sepanjang tempoh outstation : adakah anda hanya berada di dalam bilik mesyuarat sepanjang hari? atau mungkin anda akan berada di lapangan untuk beberapa jam? 
  5. Ketahui pengangkutan dan tempoh perjalanan yang akan anda lalui : samada menaiki penerbangan, bas, keretapi atau kenderaan sendiri - anda perlu tahu berapa lama anda berada dalam perjalanan. 
PERSIAPAN PERALATAN
  1. Botol/ plastik simpan EBM : anggarkan bilangan botol atau plastik steril yang perlu anda bawa. ketika berjauhan dari bayi, produksi susu ibu mungkin akan sedikit meningkat dari biasa. Rancang kekerapan mengepam dan anggar jumlah EBM bagi satu sesi. Contoh ; saya rancang untuk mengepam 6 kali sehari iaitu pada jam 6 pagi, 10 pagi, 1 petang, 5 petang, 9 malam dan 2 pagi. Anggaran purata EBM yang dapat diperah ialah 9 oz, menjadikan jumlah EBM yang terkumpul ialah 54 oz. Jadi, sepanjang 5 hari outstation saya boleh kumpul lebih kurang 270 oz EBM. Saya memilih untuk menggunakan plastik steril yang boleh mengisi 6 oz EBM, maka saya perlu mebawa sekurang-kurangnya 45 keping untuk digunakan. Untuk lebih selamat, saya bawa lebih.
  2. Cooler box dan Ice pack : untuk memuatkan hasil perahan, anda perlu pastikan cooler box dan Ice pack yang mencukupi disediakan untuk membawa pulang EBM anda. Pilihan jenis cooler box juga bergantung kepada pengangkutan dan tempoh masa perjalanan anda sebelum sampai ke rumah. Cooler box seperti 'COLEMAN' ada dalam banyak saiz dan mudah di bawa kerana ada pemegang. Contohnya, untuk mengisi 270 oz stok perahan saya memerlukan kotak penyejuk bersaiz 9 liter dan 4 ketul ice brick saiz besar untuk perjalanan 8 jam menaiki kereta. Ketika menaiki flight pula, saya menggunakan kotak polysterene (macam kotak ikan) kerana mudah untuk dibalut untuk masuk dalam bahagian kargo. Jika saya outstation 1-2 hari, saya cuma bawa cooler bag kecil sahaja.
  3. Keperluan mencuci peralatan dan membersih : Penting bagi saya untuk bawa sabun pencuci dan span bersama. Kadang-kadang bila berada di lapangan contohnya, agak sukar untuk dapatkan sabun. Jika menginap di hotel, sabun mandi sahaja disediakan oleh pihak hotel. langkah alternatif, anda boleh gunakan tisu basah yang khas untuk membersihkan alat mengepam.
  4. Pil Sterile : Mungkin tiada air panas disediakan di bilik penginapan. Pil steril memudahkan anda mensteril peralatan mengepam dan botol-botol, terutamanya jika anda outstation berhari-hari. Anda masih perlu mensteril peralatan.
  5. Bateri : Jika anda menggunakan pam yang memerlukan bateri pakai buang, jangan lupa bawa extra bateri. Jika pam anda menggunakan kuasa eletrik, jangan lupa pengecasnya. Pam manual mungkin pilihan selamat jika anda bekerja di lapangan yang tiada bekalan kuasa eletrik. 
  6. Label dan pen penanda dakwat kekal : Stok susu perlu dilabel dengan jelas. Jangan lupa bawa label dan pen marker anda! Label 'Fragile' dan 'Handle With Care' boleh disediakan jika perlu sekiranya anda menaiki penerbangan.
  7. Tuala kecil, tisu dan nursing cover : tuala kecil dan tisu perlu untuk anda lap tangan atau peralatan. Nursing cover mungkin digunakan ketika anda mengepam di dalam kenderaan, bersebelahan dengan rakan sekerja anda!
TIPS BERGUNA

  1. Beritahu orang sekeliling anda tentang perkara ini - Sekiranya rakan sekerja, pihak hotel, pihak penerbangan dan pemandu anda mengetahui anda perlu mengepam susu dan mengendalikan EBM, tugas anda akan jadi lebih mudah. Mereka tidak lagi tertanya-tanya mengapa anda mengambil masa lama ketika rehat atau mengapa anda sentiasa membawa beg 'berlebihan' ke sana sini dan mengapa penting untuk kotak styrofoam dikendalikan dengan cermat oleh pihak penerbangan. Tidak perlu malu dan berahsia, anda tidak melakukan kesalahan.
  2. Simpan EBM dalam ruangan sejuk (chiller) atau beku (frozen) mengikut kesesuaian - EBM yang disejukkan di ruang bawah peti sejuk dua pintu boleh bertahan selama 4 hari. Jika anda kerja luar untuk 5 hari, stok hari pertama perlu dibekukan. Sekiranya peti sejuk satu pintu sahaja disediakan di bilik penginapan, anda boleh dapatkan bantuan pihak hotel untuk membekukannya. Stok EBM beku perlu dibawa dengan baik semasa dalam perjalanan pulang. Ia boleh dibekukan semula setelah sampai di rumah walaupun telah mula mencair, asalkan masih banyak kristal ais di dalamnya. Habiskan EBM yang telah cair sepenuhnya dalam masa 24 jam. Ketika meninggalkan bilik semasa bertugas, pastikan bekalan eletrik tidak diputuskan kerana dikhuatiri suhu peti sejuk yang menyimpan EBM akan meningkat.
  3. Kekalkan suhu sejuk EBM semasa dalam perjalanan - Jika perjalanan anda jauh, simpan EBM secara berlapis-lapis dengan ais dan letakkan sedikit garam untuk elakkan ais mencair dengan cepat. Jika anda menggunakan ice pack atau ice brick sahaja, pastikan ia cukup sejuk dan mencukupi untuk mengekalkan suhu EBM. Elakkan membuka kotak penyimpanan dengan kerap untuk mengelakkan kehilangan suhu. Di dalam kenderaan, simpan kotak kedap suhu di bahagian penumpang - bukan di bahagian boot kereta yang bersuhu tinggi. Gunakan tuala lembap atau surat khabar lama untuk melapisi bahagian dalam kotak penyejuk (di bahagian atas) untuk mengekalkan suhu.
  4. Balut dan tanda kotak penyejuk anda - Sekiranya anda menaiki pesawat dan perlu menggunakan khidmat kargo penumpang, adalah penting untuk anda membalut kotak penyejuk dengan kemas bagi mengelakkan pecah atau bocor. Sebaiknya balut juga dengan 'secure baggage wrap' menggunakan filem plastik yang banyak disediakan perkhidmatannya di lapangan terbang. Tampal sticker tanda 'FRAGILE' atau 'KEEP UP RIGHT' atau 'HANDLE WITH CARE' jika perlu.
  5. Anda masih perlu mengepam dalam perjalanan - Jika penerbangan atau perjalanan anda melebihi 3 jam, anda mungkin perlu mengepam dalam perjalanan. Jadi, jangan lupa sediakan juga cooler bag kecil, botol dan pam anda. Jangan bungkus semuanya dalam luggage anda!
* catatan ini adalah pengalaman peribadi, sila rujuk pakar laktasi untuk keterangan lanjut.

Sertailah BigsmileZone Page di Facebook untuk maklumat berkaitan kesihatan dan kecantikan. Sila SMS ke 019 936 66681 atau email ke bigsmilezone@gmail.com jika anda berminat dengan tawaran kami.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...